8 Sebab Kenapa Loan Anda Jadi Mahal

Sepertimana yang kita semua tahu, bank akan menggunakan laporan CCRIS (dan CTOS untuk sesetengah bank) bagi menentukan peratusan faedah pada pinjaman kita, yang dipanggil Effective Loan Rate (ELR). ELR ini berbeza mengikut risiko yang pihak bank terpaksa tanggung dan ianya sudah tentu berbeza-beza mengikut peminjam. Dalam artikel kali ini, kami kongsikan tabiat buruk yang bagaimana yang membuatkan anda ‘berisiko’ di mata pihak bank.

1. Peminjam yang tak berdisiplin

Pada Disember 2013, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) telah menghubungi seramai 248,491 orang sejak awal dilancarkan pada tahun 2006. 40% daripada mereka telah mengikuti Program Pengurusan Kredit AKPK setelah menghadapi masalah dalam menyelesaikan hutang mereka.

Menjadi seorang peminjam yang kurang berdisiplin akan menyebabkan markah kredit CCRIS anda teruk. Pihak bank amat menitik berat rekod pembayaran balik pinjaman anda, terutama sekali sekiranya anda sudahpun ada ‘penyakit’ tersebut. Apabila sesebuah bank melihat rekod pembayaran balik anda yang lewat daripada bank lain, mereka akan terus menganggap yang anda akan bermasalah dalam pembayaran semula pinjaman dengan mereka.

Jadi adalah penting untuk anda membayar segala jenis pinjaman yang ada tepat pada waktunya. Rekod pembayaran yang baik akan membantu anda mendapatkan pinjaman dengan mudah dan murah.

2. Gagal bayar pinjaman

Elakkan daripada tidak membayar langsung apabila anda gagal untuk membayar pembayaran minima pinjaman anda. Lari daripada masalah tidak akan pernah menyelesaikan masalah. Sebaiknya, hubungi pihak bank dan berbincang dengan mereka untuk menstrukturkan semula pembayaran pinjaman yang sesuai dengan kemampuan anda. Sekiranya anda mempunyai hutang kad kredit yang banyak, langsaikan dulu hutang dengan kadar faedah yang paling tinggi, seterusnya diikuti dengan kad yang kedua tinggi dan seterusnya. Anda turut boleh gunakan kaedah ‘balance transfer‘.

3. Berkongsi hubungan kewangan yang kurang sihat

Ini adalah masalah yang kerap kali berlaku dalam masyarakat. Sama ada kita menjadi penjamin kepada orang lain mahupun kita lakukan ‘joint-loan. Apabila individu yang kita jamin atau pasangan ‘joint-loan’ kita itu tadi gagal melakukan pembayaran di pihak mereka, markah kredit kita akan turut terlibat. Sebaiknya, elakkan terus daripada sebarang risiko yang diluar kawalan kita seperti ini.

4. Tiada pengalaman berhutang

Jika anda berbangga dengan rekod anda yang langsung tidak pernah membuat pinjaman mahupun memiliki sebarang kad kredit, ketahuilah sesungguhnya tidak mempuyai rekod pinjaman langsung tidak ubah seperti anda mempunyai rekod pembayaran yang buruk di mata bank.

Meskipun mungkin anda berjaya mengurus kewangan anda dengan baik, dimata mereka anda seorang yang ‘kurang berpengalaman’. Pihak bank akan perlu menanggung risiko kerana anda mungkin tergolong dalam golongan yang mempunyai rekod pembayaran semula yang buruk. Markah kredit anda adalah penting bagi membuktikan bahawa anda seorang yang berdisiplin. Rekod itu yang mereka mahukan. Sebaiknya dapatkanlah kad kredit untuk perbelanjaan kecil seperti petrol, tapi jangan pula anda salah guna.

5. Ada rekod kegagalan permohonan pinjaman/kad kredit

Sekiranya anda mempunyai rekod kegagalan yang banyak dalam memohon pinjaman ataupun kad kredit, ini bukan lah satu perkara yang baik untuk anda. Setiap permohonan yang anda hantar kepada bank, anda telah memberi izin kepada pihak bank untuk dapatkan rekod CCRIS anda. Setiap kali perkara ini berlaku, rekod akan menunjukkan jumlah ‘inquiry‘ pihak lain untuk rekod CCRIS anda. Dan sekiranya permohonan anda gagal, rekod tersebut akan turut disimpan. Sebaiknya, anda hanya perlu memohon apabila anda betul betul memerlukan.

6. Kekurangan kepelbagaian kredit

Anda akan peroleh markah yang baik sekiranya anda mempunyai kepelbagaian akaun dalam markah kredit anda. Kepelbagaian yang kami maksudkan adalah pembiayaan rumah, sewa-beli kenderaan, pinjaman peribadi dan kredit kad. Tapi sekiranya anda hanya mempunyai satu rekod kredit, sudah pasti markah orang yang mempunyai kepelbagaian jenis kredit akan lebih tinggi daripada anda meskipun disiplin pembayaran yang sama diaplikasikan.

7. Max-out kad kredit

Apabila kita bercakap soal kad kredit, kebanyakan kita akan terus menggunakannya selagi boleh. Tapi, tahukah anda yang % ‘utilisation‘ memainkan peranannya yang tersendiri kepada markah kredit anda. Bagi memastikan markah terbaik, penggunaan pada kadar 10% adalah yang optimum untuk penggunaan kad kredit. Memiliki 3 kad kredit dengan penggunaan 10% adalah lebih baik berbanding 1 kad kredit dengan penggunaan 30%.

8. Rekod rumah/kereta disita

Sita adalah satu perkataan yang sangat menakutkan bagi mana-mana peminjam atas beberapa sebab. Bukan sahaja kita bakal kehilangan rumah/kereta yang dibeli melalui pinjaman, lebih teruk lagi kita masih berhutang walaupun rumah/kereta kita tadi telahpun dilelong bank. Kebiasaannya, apabila rumah/kereta anda disita, pihak bank akan melakukan aktiviti lelongan terhadap aset anda. Dan sekiranya harga yang berjaya dilelong lebih rendah daripada baki hutang anda, perbezaan baki tersebut akan terpaksa ditanggung oleh anda sebagai peminjam.

Tidak berhenti disitu, markah kredit anda akan turut terpengaruh. Dan rekod ini akan kekal di dalam laporan anda selama 7 tahun! Ini akan merendahkan peluang kita untuk mendapatkan pinjaman bank apabila kita cuba memohon di masa akan datang.

Sebaiknya, pesanan kami berbelanjalah dengan bijak dan sebaiknya elakkan budaya berhutang.

Kredit: Web hartabumi.com