Cara Kira Kelayakan Pembiayaan Perumahan LPPSA

[ PENJAWAT AWAM KENA TAHU CARA KIRA KELAYAKAN PEMBIAYAAN PERUMAHAN LPPSA ]

? TIGA LANGKAH MUDAH KIRA KELAYAKAN PEMBIAYAAN PERUMAHAN KERAJAAN ANDA.

Berdasarkan Pekeliling LPPSA Bil. 1/2017 dan Garis Panduan LPPSA Bil. 1/2017, pengiraan kelayakan pembiayaan perumahan sektor awam adalah tertakluk kepada:

1. Jadual Kelayakan Pembiayaan Perumahan Sektor Awam;

2. Arahan Bayaran Balik (ABB) tidak melebihi 60% daripada jumlah gaji pokok dan elaun tetap.

Elaun tetap yang diambil kira adalah:

– Imbuhan Tetap Perumahan (ITP) / Elaun Perumahan Wilayah (EPW);

– Imbuhan Tetap Khidmat Awam (ITKA) / Imbuhan Tetap Keraian (ITK); dan

– Imbuhan Tetap Jawatan Utama / Khas (ITJU)

Langkah Pengiraan

  1. Semak kelayakan berdasarkan Jadual Kelayakan Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (atau baki kelayakan jika pembiayaan kedua) mengikut amaun gaji pokok + elaun tetap
  2. (a) Kira amaun maksimum bagi Arahan Bayaran Balik (ABB) tidak melebihi 60% daripada jumlah gaji pokok dan elaun tetap (atau 50% jika pembiayaan kedua)
    (b) Kira berapa ansuran bulanan dibenarkan berdasarkan jumlah potongan maksimum 60% dalam slip gaji (potongan sedia ada + potongan baru untuk ansuran bulanan pembiayaan perumahan = maksimum 60% daripada gaji pokok dan elaun tetap)
  3. Ansuran bulanan pembiayaan tertakluk kepada amaun pembiayaan dan tempoh pembiayaan
    • Amaun pembiayaan : seperti poin 1, 2a dan 2b
    • Tempoh pembiayaan

[ Pembiayaan Pertama ]

  • KWSP : Umur tamat perkhidmatan atau 360 bulan mana-mana terdahulu
  • Pencen : Sehingga usia 90 tahun atau tempoh 360 bulan, mana-mana terdahulu

[ Pembiayaan Kedua ]

  • KWSP : Umur tamat perkhidmatan atau 300 bulan, mana-mana terdahulu
  • Pencen : Sehingga usia 90 tahun atau tempoh 300 bulan, mana-mana terdahulu

Kalau dalam slip gaji dah ada potongan ANGKASA sampai 50% daripada amaun gaji, tipislah harapan nak dapat pembiayaan perumahan yang tinggi. Entah-entah tak layak langsung kot kalau ambilkira potongan-potongan lain contohnya KWSP.

Belajar sesuatu?

  1. JANGAN BUAT PEMBIAYAAN PERIBADI.
    Pastikan potongan dalam slip gaji seminimum yang mungkin, iaitu jangan ambil pembiayaan peribadi. Ramai yang baru mula kerja terus hentak pembiayaan peribadi maksimum, kemudian slip gaji ‘cacat’ ada ANGKASA sampai lebih 50% gaji.
  2. BUAT PEMBIAYAAN PERUMAHAN SEAWAL MUNGKIN.
    Bagi skim KWSP, buat pembiayaan seawal mungkin, kerana tempoh maksimum pembiayaan anda sehingga usia tamat perkhidmatan yang lazimnya usia 56 tahun atau sehingga tempoh 30 tahun. Maksudnya, buat pembiayaan perumahan LPPSA sebelum usia 26 tahun ‘jika boleh’ bagi membolehkan anda menikmati tempoh pembiayaan maksimum selama 30 tahun pada kadar efektif 4.0%.
  3. JANGAN GUNA MAKSIMUM kerana anda masih boleh guna bakinya untuk pembiayaan kali kedua. Mulakan dengan membeli rumah yang kecil dan sederhana. Lagipun masa mula kerja, gaji masih rendah lagi, kan. Ingat, layak tak semestinya mampu.

Kiraan adalah berpandukan kefahaman penulis terhadap 3 bahan rujukan berikut, iaitu :

1. PEKELILING LPPSA BIL. 1 TAHUN 2017
2. GARIS PANDUAN LPPSA BIL. 1 TAHUN 2017
3. PINDAAN 2/17 SOALAN LAZIM: KEMUDAHAN POTONGAN GAJI PENJAWAT AWAM PERSEKUTUAN

Sekiranya terdapat kesilapan dalam konsep kiraan, mohon maklumkan. Terima kasih.

Kredit: FB Mohd Fadhli Mohd Fauzi