Faktor Yang Menaikkan Nilai Hartanah

Apa faktor harga rumah naik? Biasanya orang akan kaitkan dengan faktor ekonomi seperti permintaan dan bekalan.

Memang betul. Selain itu, cuba anda baca kenyataan ini:

Sepuluh tahun lalu, saya beli sebuah rumah teres dua tingkat di Bandar Saujana Putra pada harga RM140,000. Apabila lebuhraya SKVE siap pada tahun 2010, harga rumah tesebut naik mendadak dan kini harga pasarannya ialah sekitar RM300,000 ke RM400,000”.
— Abdul Aziz Ahmad, Pengasas Celik Hartanah

Kata kuncinya disini ialah ‘booster’. Maksudnya, kemudahan yang terdapat di sesebuah kawasan yang menjadikan permintaan di kawasan itu meningkat. Bila dah jadi rebutan pembeli, sudah tentu nilai hartanah di kawasan itu meningkat.

Semakin banyak booster yang ada, semakin ramai orang berkerumun di kawasan itu. Tahu-tahu saja, kawasan tersebut jadi kawasan ‘hot spot’. Jadi makin ramailah yang ingin melabur dan membeli hartanah di kawasan tersebut. Hasilnya, nilai hartanah di kawasan tersebut akan naik!

Mari kita kenali 10 booster yang akan menaikkan nilai hartanah, dikongsi terus daripada guru hartanah, Tuan Abdul Aziz Ahmad yang juga pengasas Celik Hartanah.

1. Infrastruktur

Yang ini keperluan ‘basic’- lebuhraya dan pengangkutan awam wajib ada.

Tapi ingat! Ciri- ciri lebuhraya berdekatan yang kita nak ialah dekat dengan ‘entrance’ atau ‘exit’, bukan dekat tepi lebuhraya. Nanti bising dan udara tercemar.

Sama juga dengan pengangkutan awam, kita nak supaya rumah kita dekat dengan STESEN pengangkutan awam, bukan dekat dengan laluan pengangkutan awam yang bising. Jarak di antara rumah dan stesen pengangkutan awam seeloknya dalam radius 1 kilometer iaitu jarak jalan kaki. Jika terdapat ciri-ciri ini, barulah kemudahan infrastruktur di kawasan tersebut dikira hebat.

2. Pusat Membeli-Belah

Sebelum itu, perlu tahu tak semua pusat membeli-belah boleh ‘boost’ nilai hartanah. Keadaan dan direktori pusat membeli-belah sangat memainkan peranan. Pusat membeli-belah yang ideal perlu ada pasaraya, medan selera, tempat letak kereta, panggung wayang, dan zon kanak-kanak. Contoh terbaik ialah kawasan Mutiara Damansara.

Pusat membeli-belah The Curve dikelilingi pasaraya Tesco, pusat kanak-kanak Kidzania, dan yang paling unggul sekali, pusat perabot IKEA. Semua bangunan ini terletak dalam jarak jalan kaki antara satu sama lain. Tak hairanlah rumah di kawasan ini menjadi rebutan pembeli. Disebabkan itu, nilainya terus meningkat.

3. Pusat Pengajian

Pusat pengajian dijamin boleh menaikkan nilai sesebuah hartanah. Sebuah universiti mempunyai beribu-ribu pelajar dan beratus-ratus pensyarah serta staf dan sudah pasti mereka akan mencari rumah berdekatan universiti. Begitu juga dengan sekolah antarabangsa yang akan menarik minat golongan ekspatriat untuk mendiami atau menyewa di kawasan ini.
Semakin banyak permintaan, semakin tinggi nilai rumah.

4. Kawasan Industri

Sama seperti pusat pengajian, kawasan industri akan mendatangkan beribu-ribu pekerja yang akan memburu rumah di kawasan berdekatan. Sebagai contoh, kilang, lapangan terbang, dan kawasan industri antarabangsa yang dipenuhi golongan ekspatriat. Nilai hartanah berdekatan kawasan ini gerenti akan meningkat.

5. Hospital

Kewujudan hospital juga membolehkan nilai hartanah di sesebuah kawasan meningkat. Kemudahan ini penting dan sangat diambil kira terutama oleh golongan berumur dan warga emas.

6. Pusat Hiburan

Pusat hiburan misalnya Legoland, Kidzania, mahupun ‘fun fair’ boleh menjadi tarikan pengunjung untuk melawat ke kawasan tersebut. Jadi, hartanah berbentuk homestay atau hotel sangat sesuai dibina di kawasan-kawasan seperti ini. Nilainya pasti tinggi dek kerana permintaan yang tak putus-putus.

7. Pemandangan

Pembeli rumah sangat gemarkan pemandangan kehijauan atau kebiruan seperti taman-taman, kelab golf, kolam renang, dan tepi laut. Inilah sebab kadang-kala unit rumah berlainan harganya walaupun jenisnya sama. Unit yang mempunyai pemandangan lebih cantik lebih tinggi nilainya.

8. Pusat Tarikan Pelancong

Malaysia menerima purata kunjungan pelancong seramai 2 juta orang setahun. Bayangkan berapa ramai pelancong dan pengunjung yang akan berlumba-lumba mencari hotel dan juga homestay berdekatan pusat tarikan pelancong seperti KLCC, Sunway Lagoon, Jonker Street, dan sebagainya. Begitu juga kepada golongan ekspatriat yang gemarkan kediamaan di kawasan ‘hot spot’ ini. Jadi, wajarlah hartanah berdekatan pusat tarikan pelancong meningkat nilainya.

9. Projek Mega

Syarat projek mega mestilah bernilai RM1 bilion ke atas. Mengapa hartanah berdekatan projek mega akan naik? Seperti namanya sendiri, projek mega bakal mendatangkan sesuatu yang besar. Ia berpotensi menjadi mercu tanda atau pusat komersial yang menjanjikan peluang pekerjaan yang besar di mana pada akhirnya akan mendatangkan permintaan hartanah yang tinggi di kawasan berdekatan. Contoh projek mega ialah Bandar Malaysia di Sungai Besi dan Tun Razak Exchange di Kuala Lumpur.

10. Pembangunan Berorientasikan Transit (TOD)

TOD ialah hartanah bercampur seperti rumah, pejabat, dan runcit yang disokong oleh infrastruktur rel. Dalam kata lain, pembangunan ini bersambung terus ke laluan MRT dan LRT. Ramai pembeli hartanah sekarang memburu kawasan TOD ini sebab sesuai dengan gaya hidup bandar moden. Disebabkan rebutan ini, rumah yang dibina dalam kawasan TOD makin meningkat nilainya.

Lagi banyak jumlah booster yang ada di hartanah anda, lagi tinggi nilai harganya! Para pelabur, sila ambil perhatian!

Info ini diambil ketika menghadiri program myRumah yang dianjurkan oleh NSTP pada 7,8,9 Oktober 2017.

 

Kredit: Laman web Hartabumi.com.