Jenis Hak Milik Tanah

Berikut adalah jenis-jenis hak milik hartanah yang perlu anda tahu.

Hak Milik Kekal (Freehold)

Pegangan hak milik kekal adalah pegangan untuk selama-lamanya. Berbeza dengan hak milik pajakan, hak milik kekal tiada had masa.

Tempoh untuk pindah milik semasa belian juga lebih pendek. Di Lembah Klang secara amnya, kebanyakan tanah freehold tidak mempunyai sekatan.

Ini bermakna proses pindah milik tidak perlu mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa negeri.

Oleh itu proses pindah milik rumah freehold daripada pemilik kepada pembeli lebih mudah dan boleh dimuktamadkan sekitar 4 bulan daripada tarikh perjanjian jual beli.

Namun ada juga tanah berstatus hak milik kekal yang mempunyai sekatan.

Contohnya tanah di sekitar Nilai dan Seremban perlu mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa negeri sebelum pindah milik.

 

Hak Milik Pajakan (Leasehold)

Hak milik pajakan atau leasehold merupakan suatu pegangan bertempoh. Tanah tersebut dipajak oleh kerajaan negeri kepada tuan tanah biasanya untuk tempoh selama 99 tahun.

Ini bermaksud tanah tersebut bukan milik tuan puan secara mutlak.

Bila habis tempoh, tuan puan boleh memilih untuk menyambung tempoh pajakan dengan bayaran premium atau tanah tersebut diambil semula oleh kerajaan negeri.

Proses pindah milik hartanah jenis hak milik pajakan adalah sedikit lama berbanding dengan hak milik kekal. Ini kerana proses mesti mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa negeri.

Kebiasaannya proses pindah milik dapat dimuktamadkan sekitar 6-10 bulan dari tarikh perjanjian jual beli.

Satu perkara yang tuan puan kena tahu tentang hak milik pajakan ialah proses pindah milik antara penjual Bumiputera dan pembeli bukan bumiputera adalah sukar.

Ini kerana kerajaan negeri biasanya mempunyai polisi dan juga suatu kuota untuk menjaga pegangan bumiputera dalam hartanah.

Biasanya pindah milik antara bumiputera dan bukan bumitera tidak akan diluluskan.

Dalam kes sebegini, pembeli dan penjual boleh buat rayuan. Namun kebarangkalian untuk lulus adalah sangat rendah dan hanya dibenarkan dalam situasi tertentu sahaja.

Satu lagi kekurangan rumah berstatus ini ialah, jika baki pajakan tinggal kurang 50 tahun, kebarangkalian bank nak beri pinjaman tu adalah rendah.

 

Tanah Rizab Melayu

Hartanah berstatus Tanah Rizab Melayu atau Malay Reserved hanya boleh dipindah milik daripada pemilik dan pembeli berbangsa Melayu.

Kedua-dua jenis hak milik kekal dan hak milik pajakan boleh jadi berstatus Tanah Rizab Melayu.

Nak kenal pasti Tanah Rizab Melayu ni dekat geran. Dekat status pegangan pada geran tu akan tulis Malay Reserved.

 

Lot Bumiputera

Lot Bumiputera merujuk kepada lot yang boleh dipindah milik kepada Bumiputera sahaja.

Semasa pemaju membina suatu projek perumahan, pihak berkuasa akan menetapkan suatu kuota yang mesti dijual kepada Bumiputera sahaja.

Rumah jenis freehold dan leasehold berstatus lot bumiputera tidak boleh dijual kepada bukan bumiputera.

Namun begitu, rumah freehold berstatus lot bumiputera boleh dijual kepada bukan bumiputera setelah status tanah ditukar menjadi hakmilik individu daripada pemaju.

 

Lain-lain Jenis Hak milik

Hak milik induk (master title): Merujuk kepada status tanah yang masih belum dipecahkan lotnya daripada nama pemaju kepada nama pembeli.

Hak milik individu: Ialah status tanah untuk rumah bertanah yang mana ianya sudah dipecahkan lotnya daripada nama pemaju kepada nama pembeli.

Hak milik strata: Ialah status tanah untuk rumah tinggi (high rise) yang mana ianya sudah dipecahkan lotnya daripada nama pemaju kepada nama pembeli.

 

#InfoHartanah #JualBeliHartanah #RealEstateNegotiator

Sumber: arifhussin.com